Rabu, 6 Oktober 2010

Ketika Cinta Bertasbih Spesial Ramadhan



"Kau mencintaiku seperti bunga mencintai titah tuhannya, tak pernah lelah menebar mekar aroma bahagia. Tak pernah lelah meneduhkan gelisah nyala. Kau mencintaiku seperti mahatari mencintai titah tuhannya, tak pernah lelah membagi cerah cahaya, tak pernah lelah menghangatkan jiwa" - Ayatul Husna

Ya Allah ya tuhan kami. Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak cucu kami yang menyenangkan hati kami. Ya Allah. Dan jadikanlah kami panutan bagi orang-orang yang bertakwa. - Doa Ustaz Azzam.

Sedikit Ulasan Mengenai Watak Utama

Ustaz Abdullah Khairul Azam. Seorang pria yang dilahirkan dari kalangan keluarga yang agak susah, setelah kematian bapanya harus meneruskan pelajarannya di Universiti Al-Azhar disamping membantu ibu dan adik-adiknya meneruskan kehidupan dengan menjual tempe di Cairo. Setelah melalui perbagai liku untuk lulus dan kembali ke Solo, seterusnya menempuh pelbagai liku juga untuk bernikah dengan Anna Althafunnisa.


Anna Althafunnisa anak kepada Kiai Lutfi pengasuh kepada Pesantren Daarul Quran dan juga seorang kiai yang sangat dihormati terutamanya di Solo dan yang sekitar dengannya merupakan bidadari dambaan para mahasiswa Cairo yang cemerlang dalam menyelesaikan S2-nya. Setelah mengalami pelbagai kejadian semasa perkahwinannya dengan Furqan, akhirnya Anna telah berkahwin dengan lelaki idamannya Abdullah Khairul Azzam.

Semuanya itu telah di tonjolkan oleh Kang Abik atau lebih dikenali sebagai Habiburrahman El-Shirazy di dalam novel & filem Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2.

Ustazah Qanita, anak kepada Kyai Ansori yang sangat cantik & cerdas juga hafal 30 juzuk Al-Quran juga solehah menjadi salah seorang pengajar di Pesantren Daarul Quran di samping orang yang sangat rapat dan menjadi Guru hafazan Al-Quran kepada Sarah adik kecil kepada Ustaz Khairul Azzam.

Watak-watak ini adalah antara 3 watak utama selain dari watak Ayatul Husna, Ustaz Elias, Furqan, Elyana, Lia dan beberapa watak lagi yang di dedahkan di dalam sinetron Ketika Cinta Bertasbih Spesial Ramadhan (KCBSR).

“Islam Is the Way of Life”

Ketika dunia sangat teruja dengan kemunculan Maher Zain yang mendendangkan lagu-lagu dakwah dengan irama yang moden dan disukai ramai. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada sutradara yang dikenali sebagai "sutradara cap islami", Chaerul Umam dan Kang Abik kerana berjaya mengenengahkan satu bentuk dakwah berbentuk sinetron selain novel-novel hebat beliau yang memaparkan penceritaan mantap ke arah islamik yang sebenarnya dan amat ditunggu-tunggu oleh umat islam yang dahagakan dakwah dan pendedahan kepada kehidupan cara islam yang syumul.

Sehingga hari ini, saya sudah menonton pelbagai jenis genre filem, drama maupun sinetron. Walaupun kebelakangan ini saya agak sedikit menentang kebanyakan sinetron khasnya dari Indonesia yang memaparkan jalan cerita yang hampir sama dan kadang-kadang keluar dari batas logika. Ada juga sinetron atau drama di Malaysia juga, yang konon ceritanya membawa jalan dakwah tapi di penuhi dengan lakunan wanita-wanita yang tidak menutup aurat, sentuh-menyentuh watak suami isteri anak lelaki dengan ibu, anak perempuan dengan bapa dengan alasan bahawa perlu supaya cerita lebih dihayati. Belum lagi dengan gambaran-gambaran salah tentang islam dan tahyul.

KCBSR meneruskan nilai-nilai islam yang dipaparkan dalam filem KCB 1 & 2. Hampir keseluruhan cerita memaparkan lsayanan wanita yang berjilbab. Kalau adapun, seperti watak Aprilia dan Fina, yang tidak berjilbab pada awal cerita tetapi akhirnya berjilbab hingga ke akhir siri walaupun ketika mereka melakunkan cerita di dalam rumah. Walaubagaimanapun kita harapkan supaya Habiburrahman lebih berhati-hati, supaya di masa akan datang akan ada cerita yang dipaparkan 100% menutup aurat.

Watak Ustaz Abdullah Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa sebagai suami isteri begitu menusuk ke sanubari dengan sifat saling hormat menghormati, sayang menyayangi tanpa perlu melakunkan adengan sentuh menyentuh, peluk mahupun sekadar mencium dahi. Sikap suami-isteri yang ditunjukkan dalam sinetron ini benar-benar memberi kita contoh terbaik walaupun ustazah Anna sebagai seorang yang alim dalam ilmu agama, beliau tetap manusia biasa yang kadang-kadang terlalai atau lupa. Ustazah Anna lalu ditegur dengan cara yang berhikmah oleh suaminya dititip pula dengan hujah al-Quran mahupun hadis selayaknya sebagai seorang ustaz yang faham ilmu agama.


KCBSR secara positifnya juga memaparkan kisah kehidupan masayarakat yang berbeza taraf hidup tidak kira miskin atau kaya tetapi mempunyai nilai islam yang sungguh jelas dalam menjaga batas agama dari segi pergaulan, bersilaturrahim dan saling bantu-membantu tanpa mengira taraf dan kedudukan. Sikap ataupun akhlak pemuda dan gadis solehah seperti Ustaz Elias dan Ayatul Husna ditonjolkan begitu jelas menjaga batas sebagai muslim walaupun kedua-duanya saling cinta-mencintai. Sikap mereka dalam menghormati dan mendahulukan agama, ibubapa dan orang yang lebih tua dalam mengambil sebarang keputusan disamping mempunyai sifat pemurah, suka membantu sesama manusia membuatkan kita lebih muhassabah dalam membetulkan diri dan membuatkan kita berfikir bagaimana cara yang baik untuk mendidik dan membentuk anak-anak kita agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah seperti mereka.

Ronald dan Haji Samingan adalah dua watak utama manusia jahat yang dipaparkan dalam sinetron ini. Apa yang menerujakan ialah,  lakunan mantap dan watak mereka telah berjaya menimbulkan rasa marah dan benci kepada perbuatan jahat mereka seterusnya memberi tauladan serta mengingatkan kita. Pujian juga buat sutradara, plot kejahatan dalam cerita ini tidak terlalu dipapar secara berlebihan atau ditunjukkan secara keterlaluan sehingga boleh menjadi ikutan kepada penonton khasnya kanak-kanak dan remaja.

Yang Paling Menarik

Isu poligami sangat menjadi perhatian khasnya kepada kaum wanita. Tidak ketinggalan, isu poligami yang menjadi isu klimak kepada KCBSR. Isu yang ditimbulkan oleh Kang Abik sejak dari awal cerita, bagaimana Anna Althafunnisa didapati mandul menjadi penyebab kepada poligami. Penceritaan yang bersahaja dengan pelbagai isu berjaya menimbulkan isu poligami akhirnya sebagai klimak. Ustazah Anna seperti kebanyakan wanita lain yang pada mulanya tidak dapat menerima saranan atau arahan Kyai Lutfi, bapanya,  supaya menikahkan Ustazah Qanita dengan Ustaz Azzam akhirnya dengan izin Allah, akhirnya akur dengan arahan tersebut setelah berfikir panjang dan mendapat petunjuk dari Allah s.w.t.

Alasan Kyai Lutfi agar mengambil pedoman dari kisah Nabi Ibrahim, Siti Sarah dan Siti Hajar agar Pesantren Daarul Quran mempunyai penyambung warisan dari darah-daging Kyai Lutfi sendiri, atau paling tidak dari zuriat orang soleh dan solehah seperti Ustaz Azzam sebagai menantu dan Ustazah Qanita hanya mampu diselami dan dihayati oleh Ustazah Anna walaupun beliau terus-menerus berperang dengan sifat cemburu yang begitu berleluasa dalam dirinya. Suasana yang pada awalnya hanya bergolak terutamanya di jiwa pendokong utamanya Ustaz Azzam, Ustazah Anna dan Ustazah Qonita terus tegang dan terus merebak di Pesantren Daarul Quran dan kawasan sekitarnya. Pengakuan dan pengumuman oleh  Ustazah Anna sendiri mengenai pernikahan Ustaz Azzam dan Ustazah Qanita tidak langsung memberi kesan kepada penduduk setempat khasnya kaum wanita. Peristiwa Ustazah Qanita diserang semasa menggantikan kuliah Ustazah Anna yang terus menjadikan suasana semakin tegang. Kesan dari hebahan perkahwinan itu banyak menimbulkan ketegangan dan kekecohan sehingga ada sebahagian ibubapa yang mula mengeluarkan anak-anak mereka dari pesantren. Tidak ketinggalan ibu saudara Ustaz Elias yang bertugas sebagai pengurus dan orang penting dalam syarikat juga telah menarik diri dari JPME kerana tidak bersetuju dengan poligami.

Ya Allah. Ampuni hambamu yang lemah ini. Ya Allah. Ampuni aku yang tak putus berlumur dosa. Jangan kau biarkan hatiku menjadi hitam karna noda dan dosa. Berilah aku kelapangan hati untuk menerima ustaz Azam sebagai suamiku dan melupakan yang lainnya. Jadilah pernikahanku nanti pernikahan yang berubah-rubah. Ya Allah. Atasilah hatiku dgn secubit keikhlasan atau dengan segala takdir yang engkau gariskanDoa Ustazah Qanita.

Apa yang sangat menarik pada penilaian saya, yang ingin Habiburrahman sampaikan pada penonton bukannya isu poligami, tetapi adalah isu sifat ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Habiburrahman telah memaparkan dengan jelas kepada penonton bahawa Ustaz Azzam adalah seorang kyai muda pesantren yang soleh, akan dikahwinkan dengan Ustazah Qanita yang solehah dari keturunan kyai. Jelas juga di situ perkahwinan itu bukan atas dasar nafsu dan tidak begitu diingini oleh ketiga-tiga pihak. Tetapi kesediaan mereka terhadap pernikahan itu adalah kerana kepatuhan kepada Kyai Lutfi yang sangat alim dan berpandangan jauh atas sebab maslahah ummah. Ustazah Anna akhirnya menerima saranan ayahandanya dengan memahami bahawa Kyai Lutfi sangat menyayanginya dengan meminta dia berkorban. Mudah-mudahan dengan pengorbanan yang ikhlas, Allah akan memberi rahmat sebagaimana pengorbanan Sarah yang bermadu dengan Hajar, ibu kepada Nabi Ismail yang akhirnya Sarah, diketika umur 90 tahun akhirnya melahirkan Nabi Ishak. Faktor-faktor di atas sangat jelas bahawa ketiga-tiga mereka menerima perkahwinan tersebut atas dasar taqwa, dan insyaallah, kehidupan poligami mereka yang diharuskan oleh Allah s.w.t tidak akan menjadi seperti kebanyakan poligami-poligami lain yang berakhir dengan kehancuran rumahtangga.

Ya Allah. Jika memang telah engkau ketahui bahawa menikah dengan Qanita baik bagiku, dalam urusan ugamaku dan penghidupanku, serta akibat urusanku, maka takdirlah ia untukku, mudahkan ia bagiku, serta berkatilah bagiku di dalamnya. Tetapi jika engkau ketahui bahawa perkara ini buruk bagiku, dalam  ugamaku dan penghidupanku, serta akibat urusanku, maka hindarkanlah ia bagiku dan jauhkan pula saya daripadanyaDoa Ustaz Azzam.

Justeru itu apakah yang menjadi persoalan utama di sini? Cuba kita renung baik-baik dengan fikiran yang jernih. Ustaz Habiburrahman mahu kita berfikir, jika alasan seorang lelaki itu untuk berpoligami sudah sangat jelas tidak memihak kepada poligami yang dilarang oleh Allah subhanahuwata’ala, apakah masih ada hak kepada kita manusia tidak kira lelaki mahupun wanita untuk mengatakan tidak kepada poligami. Tapi yang jelas ditonjolkan oleh Ustaz Habiburrahman dan jelas juga pada realitinya kebanyakan penonton khasnya kaum wanita begitu menentang secara terang-terangan dan melulu tanpa memikirkan bahawa dimanakah kedudukan kita di antara emosi dan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Mereka seolah-olah seperti dirasuk hantu, lupa orang yang mereka lepaskan kemarahan kerana emosi bencikan poligami adalah guru-guru mereka yang patut mereka hormati dan sanjungi. Dan yang lebih teruk lagi mereka lupa bahawa mereka secara tidak langsungnya telah menentang keharusan dan saranan Allah s.w.t dalam bab berpoligami. Akhirnya Ustaz Habiburrahman memberi kesimpulan bahawa orang yang ikhlas dalam kepatuhan dan keutamaannya kepada maslahah agama seperti Ustazah Anna, Ustaz Abdullah Khairul Azzam dan Ustazah Qanita akhirnya mendapat habuan dan rezki yang tidak disangka-sangka. Sesuai dengan firman Allah dalam ayat seribu dinar yang bermaksud “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (ayat 1- 2 surah At-Talaq).

Ya Allah. Kokohkanlah kami dari kemungkinan rosaknya iman. Dan berilah petunjuk dari kemungkinan sesat. Ya Allah. Berilah penghalang antara kami dan antara syaitan serta perbuatannya. Ya Allah. Berikanlah keputusan yang terbaik untuk Qanita dan keluarganya. Sayangi mereka dan hindarkanlah mereka dari fitnahDoa Ustazah Anna.

Pokok asas kesimpulanya adakah poligami yang menjadi topik atau isu yang perlu diperhalusikan. Poligami hanyalah subjek yang dijadikan isu oleh Ustaz Habiburrahman dalam sinetron ini. Apa yang lebih utama ialah dimanakah kedudukan kita sebagai hamba Allah. Apakah layak untuk kita mengaku sebagai hamba kepada Allah s.w.t. jika kita tidak sanggup mendahulukan kepentingan agama seperti Kyai Lutfi yang sanggup membenarkan anaknya dipoligami dari kepentingan emosi. Apakah layak kita dipanggil bertaqwa jika tidak sanggup ikhlas patuh dan tunduk kepada sesuatu yang bersifat sementara demi kemaslahatan agama seperti Ustazah Anna Althafunnisa.

Kita doakan Chaerul Umam dan Kang Abik akan terus berkarya membawa cerita-cerita sebegini ke tengah dunia yang terlalu disogokkan dengan gejala-gejala sosial. Saya juga amat berharap supaya umat islam diseluruh dunia khasnya sentiasa memberi sokongan kepada para pendakwah hiburan seperti Maher Zain dan juga karyawan-karyawan filem seperti Chaerul Umam dan Kang Abik. 





Sinetron 56 siri ini telah tamat ditayangkan di RCTI pada akhir Ramadhan. Selamat menonton bagi yang belum menonton...