Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Hukum Berwakil Membeli Dan Menyembelih Korban
Sepertimana kebiasaan di negara kita ibadat korban itu dilaksanakan dengan berkumpulan sama ada atas nama kementerian, jabatan, persatuan kampung dan sebagainya. Kadang-kadang ibadat korban itu sudah menjadi projek tahunan bagi pihak-pihak yang berkenaan itu.
Jika dilihat daripada amalan kebiasaan bagi perlaksanaan ibadah korban itu, kumpulan tersebut akan menentukan wakil mereka untuk mengurus pembelian, penyembelihan binatang korban dan pengagihan dagingnya di pusat-pusat penyembelihan. Jika ditinjau dari segi hukum, perlaksanaan yang sedemikian itu melibatkan hukum wakalah iaitu berwakil.
Huraian Umum Mengenai Wakalah
Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan.
Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:
i. Muwakkil (orang yang berwakil)
ii. Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)
iii. Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
iv. Shighah (ijab dan qabul). (I‘anah At-Thalibin: 3/100-101)
Shighah Dalam Wakalah
Apa yang ingin dihuraikan di sini ialah rukun yang keempat iaitu shighah di mana perkara ini sangat penting diketahui demi menjaga keshahihan ibadah korban berkenaan.
Disyaratkan ijab ke atas orang yang berwakil itu dengan melafazkan sesuatu perkataan sama ada secara sharih (jelas atau terang) ataupun kinayah (yang tidak terang atau tidak jelas) seperti dalamkitabah (penulisan), persuratan atau dengan isyarat jika yang berwakil itu orang bisu yang boleh difahami, yang menyatakan bahawa orang yang berwakil itu adalah dengan keredhaan hatinya. (Majmuk: 14/197)
Ini bererti ada interaksi antara orang yang berwakil dengan orang yang diwakilkan yang dinamakan aqad. Namun orang yang dijadikan wakil itu tidak disyaratkan baginya qabul (ucap terima), kecuali di dalam keadaan tertentu seperti jika dalam perwakilan itu dengan upah. Contohnya orang yang berwakil itu mewakilkan seseorang untuk menjualkan sebidang tanahnya dengan harga sekian dan memberi upah kepada wakilnya itu. Maka dalam keadaan ini, wakil itu hendaklah melafazkan qabulnya sama ada dia menerimanya ataupun tidak. Adapun yang disyaratkan bagi orang yang dijadikan wakil itu ialah dia tidak menolak ucapan atau lafaz orang yang berwakil itu. Jika orang yang dijadikan wakil itu menolak ucapan tersebut, seperti dia berkata: “aku tidak terima” atau seumpamanya, maka batal dan tidak sah akad perwakilan itu.
Jika dilihat ketentuan hukum dalam bab wakalah dan dipraktikkan dengan cara kebiasaan yang tersebut di atas oleh sebahagian kumpulan yang berkorban itu ditakuti tidak menepati kehendak sebenar hukumwakalah. Pada kebiasaannya, orang-orang yang hendak menyertai ibadat korban akan mendaftarkan namanya dan membayar kadar tertentu bagi tujuan tersebut tanpa disertai dengan lafaz tawkil kepada wakil yang dilantik.
Amalan tersebut tidak memenuhi kehendak hukum berwakil kerana jika dilihat kepada tuntutan babwakalah orang yang berwakil itu wajib melafazkan tawkilnya (akad) sama ada dengan lafaz yangsharih atau kinayah kepada wakil yang ditentukan bagi tujuan seperti membeli dan menyembelih binatang korban serta mengagihkan daging korban tersebut.
Melantik Wakil Kedua
Dalam bab wakil ini, para ulama fiqh juga berpendapat bahawa orang yang dijadikan wakil itu harus mewakilkan lagi kepada orang lain untuk menjadi wakil yang kedua tanpa perlu mendapat izin daripada orang yang berwakil. Itu pun jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil itu sendiri, disebabkan dia tidak layak melakukannya atau tidak berkemampuan mengerjakannya. Akan tetapi jika sebaliknya, iaitu dia mampu untuk melaksanakan perkara yang diwakilkan ke atasnya itu, maka tidak harus baginya melantik orang lain menjadi wakil yang kedua melainkan dengan izin orang yang berwakil. (Majmuk: 14/218)
Mewakilkan Sembelihan Binatang Korban
Menurut hukum asal berkorban itu bahawa sunat binatang yang hendak dijadikan korban itu disembelih oleh orang yang berkorban itu sendiri, kiranya dia pandai menyembelih. Walaupun begitu boleh juga dia mewakilkan orang lain untuk menyembelih korban itu dan hadir ketika penyembelihannya. Afdhalnya wakil itu ialah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.
Keharusan berwakil dalam ibadah korban itu diambil daripada perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang telah berkorban dengan seratus ekor unta, di mana Baginda sendiri menyembelih - dengan tangan Baginda yang mulia - enam puluh tiga ekor, kemudian Baginda menyerahkan pisau penyembelih itu kepada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah untuk menyembelih bakinya.
Persoalan Niat
Disyaratkan orang yang berkorban itu berniat kerana korban ketika menyembelih, kerana ia ibadat dan harus juga mendahulukan niat itu sebelum menyembelih mengikut pendapat yang ashah.
Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih korbannya dengan hadir orang yang berwakil ketika itu. Dalam hal ini, niat orang yang berwakil itu adalah memadai dan wakil tidak perlu lagi berniat. Walau bagaimanapun adalah lebih baik orang yang berwakil itu, ketika menyerahkan korban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih korban tersebut.
Apa yang mesti diambil perhatian dalam hal berniat korban ini, ada baiknya ditentukan niat itu umpamanya sebagai korban sunat -----------bagi mengelakkan niat itu menjadi korban wajib, kerana haram bagi yang berkorban itu makan daripada daging korban wajib, bahkan wajib disedekahkan semua daging tersebut kepada fakir miskin.
Lafaz Niat Dan Tawkil Dalam Korban
Niat itu tempatnya di hati dan sunat melafazkannya dengan lidah. Niat bagi korban sunat itu ialah seperti berikut:
Maksudnya: “Sahaja aku melakukan korban yang sunat”
Contoh lafaz berwakil:
“Buatkan korban/udhhiyyah sunat untuk saya”, atau
“Belikan korban sunat untuk saya”, yang bermakna: “Sembelihkan untuk saya, niatkan untuk saya.”
Contoh terima wakalah:
“Aku terima.”
Menyembelih Binatang Korban Di Luar Negeri Dan Dagingnya Diagihkan Ke Negeri Yang Lain
Apa yang dimaksudkan dengan memindahkan daging korban itu ialah memindahkan daging korban dari negeri tempat penyembelihannya ke negeri lain, supaya daging korban itu dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak di negeri berkenaan itu.
Adakah harus bagi orang-orang tempatan berwakil untuk berkorban di luar negeri dan daging korban itu dipindahkan daripada tempat korban ke negeri atau daerah lain?
As-Sayyid Al-Bakri Ad-Dumyathi, Pengarang Hasyiah I‘anah At-Thalibin menjelaskan bahawa telah dijazamkan dalam An-Nihayah bahawa haram memindahkan daging korban daripada tempat berkorban itu seperti mana juga zakat, sama ada korban sunat atau wajib. Adapun yang dimaksudkan daripada korban sunat itu ialah bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin.
Manakala memindahkan wang daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli binatang korban adalah di haruskan seperti mana katanya yang ertinya :
"Adapun memindah wang dirham daripada satu negeri ke negeri yang lain untuk membeli dengannya binatang korban di negeri tersebut maka ia adalah harus.”
(I‘anat At-Thalibin: 2/380)
As-Syeikh Mohammad bin Sulaiman Al-Kurdi pernah ditanya :
“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang Jawi (kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na‘am (seperti lembu dan kambing) di Mekkah untuk dijadikan aqiqah dan korban sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi. Adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak, mohon fatwakan kepada kami.
Jawapan: Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah dan begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”
(I‘anah At-Thalibin: 2/381)
Dalam perkara ini pengarang Kitab Sabil Al-Muhtadin pula menyebutkan:
Kata Syeikhi Muhammad bin Sulaiman: Harus berwakil pada membeli na‘am akan korban pada negeri yang lain dan pada menyembelih dia dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu intaha. Maka iaitu zahir sama ada negeri Mekkah atau lainnya tetapi jangan dipindahkan dagingnya daripada negeri tempat berkorban kepada negeri yang lain maka iaitu haram lagi akan datang kenyataannya dan sayuginya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini wallahu ‘alam. (Sabil Al-Muhtadin: 214)
Katanya lagi jikalau berwakil seorang akan seorang pada berkorban di negeri lain kerana menghasilkan murah umpamanya hendaklah disedekahkan oleh wakil akan dagingnya bagi fakir miskin negeri itu dan janganlah dipindahkannya akan sesuatu daripada dagingnya daripada negeri itu kepada negeri yang berwakil melainkan sekadar yang sunat ia memakan dia itupun jika ada korban itu sunat (adapun) jika ada korban itu wajib maka wajiblah atas wakil mensedekahkan sekeliannya kepada fakir di dalam negeri tempat berkorban itu (dan haram) atasnya memindahkan suatu daripadanya ke negeri yang lain. (Sabil Al-Muhtadin: 216)
Berdasarkan perkataan para ulama seperti yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa hukumnya harus berwakil untuk membeli binatang korban di negeri yang lain dan menyembelihnya serta membahagikan daging tersebut kepada fakir miskin di negeri berkenaan.
Adapun memindahkan daging korban daripada tempat sembelihan Ke negeri yang lain itu adalah berhubungkait dengan hukum menyedekahkan daging korban itu:
Jika korban itu adalah korban wajib yang mana kesemua dagingnya wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, maka haram hukumnya memindahkan daging korban berkenaan daripada tempat sembelihan. Inilah pendapat jumhur ulama Syafi‘eyah.
Jika korban itu korban sunat di mana sebahagian daripada daging korban itu harus dihadiahkan atau dimakan oleh orang yang berkorban, maka bahagiannya (hak orang yang berkorban) itu sahaja yang harus dipindahkan ke negeri lain. Manakala bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir miskin itu wajib disedekahkan di tempat berkorban itu juga dan haram dipindahkan ke negeri lain. (I‘anah At-Thalibin: 2:380)
Penutup
Mengingatkan hukum berkorban itu sunat mu’akkadah dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini. Supaya korban itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah korban itu. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih sebagaimana yang dijelaskan di atas supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara‘.
Jazakallah kepada penulisnya.. Semoga menjadi amal jariah..